Seperti mana kebanyakan orang, Puan N adalah di antara golongan yang amat takut untuk berjumpa dengan doktor gigi.
“Apa yang membuatkan you datang hari ni,” saya tanya.
“Anak I suruh I betulkan gigi, dia kata Mama tolong la, gigi da teruk sangat tu,” dia jawab.
“Sebenarnya sebelum tu I ada sakit dada. Berpeluh peluh everytime sakit. I da ingat mesti masalah jantung. Bila jumpa medical doctor dan check, Doktor kata ECG jantung normal, cuma kolesterol tinggi sikit. Diagnosis sebenar, GERD. Sebab mungkin selama ni I asyik telan je makanan tanpa kunyah. So, that’s why I datang sini supaya I boleh betulkan gigi dan boleh kunyah lebih baik dan sebelum banyak lagi masalah lain yang jadi,” sambung Puan N.
Anak Puan N menangis-nangis merayu dia untuk buat rawatan gigi kerana tak mahu kehilangan mamanya.
Inilah pertama kali pesakit saya bercerita tentang masalah GERD yang serius. GERD atau nama panjangnya “GastrointEstinal Reflux Disease” terjadi apabila banyak asid dirembeskan oleh perut sehingga asid tersebut naik ke atas hingga menyebabkan sakit dada, atau pedih ulu hati (heart burn).
Aktiviti mengunyah yang dilakukan menggunakan gigi dan air liur dalam mulut dapat memastikan pencernaaan yang baik. Air liur mengandungi enzyme amilase untuk mencernakan karbohidrat. Gigi pula bantu mengecilkan makanan supaya keluasan untuk dicernakan oleh enzim seterusnya lebih besar dan berkesan.
Sekiranya proses di atas tidak berlaku dengan baik, maka perut perlu berkerja dengan lebih kuat untuk mencernakan makanan yang tidak dikunyah. Perut pun merembeskan jus gaster (asid) yang berlebihan. Itu serba sedikit penerangan secara ringkas apa yang berlaku kepada Puan N.
Apabila saya periksa gigi Puan N, banyak giginya telah goyang. Dia mengalami penyakit gusi, “Generalized Chronic Periodontitis”. Banyak juga gigi yang tiada. Disebabkan tidak diganti dengan segera, gigi yang sedia ada bergerak ke ruang kawasan gigi yang telah dicabut. Jadi kedudukan gigi juga lari banyak.
Saya termenung lama memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah beliau. Bagi memperoleh susunan gigi yang cantik, banyak gigi yang terpaksa saya korbankan walaupun tidaklah goyang teruk. Saya sangat kasihankan beliau.
Puan N bersetuju dengan cadangan rawatan yang saya usulkan kepadanya. Saya bahagikan sesi rawatan kepada beberapa visit supaya mudah untuk dia menerima rawatan tersebut.
Saya perlu mengembalikan keberaniannya untuk menjalani rawatan gigi semula. Oleh itu, saya sangat berhati- hati dan melaksanakan rawatan dengan penuh lembut dan pastikan tiada sakit langsung.
Alhamdulillah, Puan N berjaya menjalani kesemua rawatan yang dicadangkan.
Sewaktu hari pertama dia memakai gigi palsunya, dia agak kekok. Namun, dia faham itulah lumrah memakai gigi palsu. Saya telah menjelaskan perkara ini sedari awal sebelum memulakan rawatan.
Lebih kurang selang beberapa hari, kami message dia bertanya khabar.
Puan N kata dia boleh mengunyah dengan lebih baik. Anaknya juga kata dia nampak 10 tahun lebih muda!!!
Saya rasa sangat gembira dengan respon beliau!! Yeayy!
Saya juga sempat berpesan supaya beliau datang balik sekiranya ada sebarang masalah dan datang rawatan setiap 6 bulan supaya gigi yang sedia ada tidak rosak dan beliau terus maintain menjaga gigi dengan baik.
Sekiranya anda, kenalan atau ahli keluarga seorang yang sangat takut untuk berjumpa dengan doktor gigi, ketahuilah bukan anda seorang merasa begitu dan anda perlu melawan perasaan tersebut demi kebaikan.
Saya sangat memahami sebab hampir 7/10 pesakit yang saya jumpa mengalami masalah “Dental Phobia, Fear or Anxiety. Kadang-kadang saya rasa saya ni seorang ahli psychologi. Sebab memang banyak saya amalkan ilmu psikologi untuk menenangkan pesakit.
Berilah diri anda peluang untuk kembali menjadi rawatan seperti orang lain. Saya percaya anda juga boleh buat! Saya sudah banyak menyaksikan perubahan positif tersebut live melalui pesakit saya.
Yang Ikhlas Membantu,
Dr Mawarni